Friday 16 December 2011

Kenyataan Media -10 Dec 2011-

Pelbagai reaksi mengenai debat yang kami (AKSI Mahasiswa Peduli) anjurkan kelmarin. Antaranya daripada Timbalan Naib Canselor HEP UM sendiri iaitu Prof Datuk Dr Rohana Yusuf yang meminta bahagian keselamatan untuk memberhentikannya kerana kami telah melanggar kesalahan universiti di atas sebab tidak meminta kebenaran daripada pihak HEP sendiri. Tindakan itu tidak menunjukkan keprofesionalan beliau dan memalukan profesyen pensyarah serta ahli akademik umumnya.

Di atas paksi kebebasan berakademik, sewajarnya pihak universiti menyambut baik program yang kami anjurkan kerana ini adalah untuk mematangkan konsep ilmiah dalam minda mahasiswa itu sendiri. Dan kami berasa hairan mengenai program forum yang dianjurkan BEBAS sendiri pada dua hari sebelum debat ini berjalan, mengapa pihak universiti memberi kebenaran untuk dilaksanakannya? Adakah pihak universiti takut dengan memberi autoriti kepada panel-panel dalam forum itu? Panel-panel dalam forum itu adalah Prof Aziz Bari, Prof Abu Hassan dan juga Dr Rosli. Demi menjaga hubungan dan menjaga nama baik Universiti Malaya, mereka sanggup tidak menghiraukan prinsip dalam kebebasan berakademik ini. Kami berasa janggal terdapat sebuah universiti yang gah namanya pada suatu ketika dahulu, kini seakannya mahu mengekang mahasiswa dari terus bersuara dan melontarkan idea, malah dimomokkan dengan AUKU itu sendiri.

Kami mendapat respon mengenai pembatalan tempat di Auditorium Tun Mohamed Suffian, Fakulti Undang-undang UM selepas speaker corner di Masjid Ar-Rahman UM selepas solat jumaat kira-kira jam 4 petang. Walaubagaimanapun kami tetap meneruskannya di sebelah perpustakaan Fakulti Undang-undang yang kecil ruangnya dan kami begitu teruja dengan kehadiran kira-kira 300 orang mahasiswa serta mahasiswi walaupun program kami disabotaj sebegitu rupa.

Lantaran dari provokasi itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah dalam laman twitternya berasa dukacita debat AUKU di UM terbatal ketika ia sedang dijalankan dan beliau akan menyiasatnya. AKSI menyambut baik kenyataan beliau itu kerana kami merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk mahasiswa diberikan autonomi. Beza dengan TNC HEP UM yang mendidik mahasiswa dengan mengagungkan birokrasi yang rumit daripada konsep ilmiah itu sendiri lalu menghalang mahasiswa dan tidak meminta penjelasan  daripada mahasiswa.

Tujuan kami hanya satu iaitu perbincangan ilmiah serta mahukan percambahan idea daripada mahasiswa kepada mahasiswa sendiri dan sebab itulah kami menganjurkan debat kelmarin. Oleh sebab itu AKSI seiring dengan pendirian Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) yang mahukan autonomi sepenuhnya kepada mahasiswa. Kami mahu mengingatkan tangan-tangan yang tidak sepatutnya agar tidak  memandomkan minda mahasiswa sendiri dari terus matang dan mampu menilai serta menjadi agen perubahan.  "Sedangkan anak kecil bermain api, terbakar hatinya yang suci," begitu jugalah kami di pihak mahasiswa yang menginginkan perubahan.

"Mahasiswa Mendepani Isu"

Ekhsan Bukharee Bin Badarul Hisham,
Setiausaha Akhbar AKSI.

No comments:

Post a Comment